BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 31, 2010

Tangani jenayah siber

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


CYBERJAYA: Ancaman jenayah siber yang dianggap jenayah generasi baru perlu ditangani dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat antarabangsa kerana ia boleh membawa kehancuran terutama dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata memandangkan internet ketika ini tidak mempunyai sempadan, setiap negara tidak boleh bertindak sendirian menangani ancaman jenayah siber, sebaliknya memerlukan usaha sama kukuh di kalangan pihak berkepentingan sama ada sektor kerajaan atau swasta.

“Jenayah siber menerusi sistem rangkaian komputer akan menyebabkan kesan secara langsung kepada kehidupan sebenar masyarakat. Sebagai contoh, gangguan siber yang menyebabkan gangguan elektrik seluruh negara atau keruntuhan sistem perdagangan kewangan mungkin boleh menyebabkan huru-hara atau kehancuran walaupun negara berkenaan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh,” katanya ketika melancarkan Ibu Pejabat Global International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Dr Hamadoun Toure dan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Impact, Mohd Noor Amin. Sehubungan itu, Abdullah berkata kerajaan di seluruh dunia perlu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah siber yang merebak ketika ini.

IMPACT adalah ilham Abdullah yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa IMPACT. Lembaga Penasihat Antarabangsa itu dianggotai pemimpin dunia dari pihak industri dan akademik yang selama ini memberi sokongan kepada aktiviti utama IMPACT. Ia adalah usahasama pertama seumpamanya di dunia antara jabatan awam dan swasta bagi menangani cabaran ancaman siber yang bermatlamatkan mencari penyelesaian strategik untuk meningkatkan keyakinan dan keselamatan masyarakat rangkaian maklumat.

Sementara ibu pejabat baru IMPACT yang dibina dengan keluasan 58,000 kaki persegi itu turut menjadi tuan rumah kepada Agenda Sibersekuriti Global, sebuah rangka kerja bagi usahasama antarabangsa yang ditubuhkan ITU. Ketika ini, IMPACT mempunyai empat aktiviti teras iaitu pusat penyelidikan global, pusat pembangunan latihan dan kemahiran, pusat jaminan keselamatan dan penyelidikan serta pusat polisi dan usahasama antarabangsa.

Peringatan tentang sisi gelap dunia siber telah acapkali disebarkan sama ada melalui tulisan popular atau boleh dibaca secara online di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

ARKIB : 30/12/2009

Penggodam China intip 103 negara


TORONTO: Satu rangkaian perisikan yang berpusat di China menggodam dokumen rahsia kerajaan dan pertubuhan swasta di 103 negara termasuk komputer Dalai Lama dan pemimpin dalam buangan Tibet, dakwa penyelidik Kanada, kelmarin. Kerja yang dilakukan “Pemantau Maklumat Perang (IWM)” pada awalnya memfokuskan dakwaan perisikan siber China terhadap masyarakat dalam buangan Tibet dan kemudian berlanjutan kepada rangkaian lebih meluas, kata kumpulan penyelidik terbabit.

“Kami menemui bukti kukuh penipuan perisian komputer atau malware yang menembusi sistem komputer Tibet, mengambil dokumen sensitif dari pejabat persendirian Dalai Lama,” kata penyiasat Greg Walton. Kumpulan penyelidik berkata’ ketika analisisnya menuding ke arah China sebagai sumber utama rangkaian itu, ia tidak dapat mengesan secara eksklusif identiti atau motif penggodam. Kedutaan China di sini tidak membalas panggilan yang dibuat kelmarin. Aktivis ‘Students For a Free Tibet’, Bhutila Kar-poche, berkata komputer organisasinya digodam beberapa kali sejak empat atau lima tahun lalu.

Penyelidik mengesan rangkaian perisikan siber membabitkan lebih 1,295 komputer mencurigakan dari kementerian hal ehwal asing Iran, Bangladesh, Latvia, Indonesia, Filipina, Brunei, Barbados dan Bhutan. Mereka juga menemui sistem digodam di kedutaan India, Korea Selatan, Indonesia, Romania, Cyprus, Malta, Thailand, Taiwan, Portugal, Jerman dan Pakistan. - AP
Artikel ini pula memberi peringatan kepada individu yang sering menggunakan perkhidmatan internet.

ARKIB : 13/10/2006
Guna akal layari Internet
Oleh HISHAMUDDIN AHMAD ZAKI

MEMBACA berita mengenai penipuan menerusi Internet memang menyedihkan terutama yang melibatkan kecurian identiti perbankan Internet dan pelaburan berisiko tinggi seperti Swiss Mutual Fund. Ada yang tertipu kerana mudah tergoda dek keinginan untuk menang loteri berjuta ringgit. Ada pula yang digoda dengan apa yang digelar Nigerian Scams - melabur wang sedikit untuk mendapatkan harta-harta karun yang tidak wujud.

Sebagai seorang yang telah melayari Internet hampir 20 tahun lamanya, saya mendapati kebanyakan yang ditipu adalah kerana kenaifan diri sendiri. Ramai begitu mudah tergoda oleh tawaran-tawaran yang datang melalui e-mel atau oleh keinginan untuk kaya cepat. Nafsu manusia mudah dirangsang, pantang melihat sesuatu yang berimejkan kekayaan dan kesenangan.

Melayari Internet adalah satu dunia yang tersendiri. Tiada apa yang dapat menghalang anda daripada diserang penggodam Internet pada bila-bila masa. Ia boleh muncul dalam e-mel anda, di sesuatu laman web underground, laman web klon atau melalui sembang-sembang. Anda hanya akan sedar anda telah diserang bila komputer anda dipenuhi spyware, trojan atau virus. Kenaifan menggunakan Internet membolehkan identiti dicuri. Ini termasuklah juga identiti e-mel anda dan identiti pelbagai urus niaga kewangan seperti perbankan Internet. Kenaifan melayari Internet juga telah menyebabkan bil-bil telefon melambung atau kad kredit tiba-tiba dicaj dengan jumlah yang membingungkan. Jadi bagaimana untuk memastikan anda bijak untuk menggunakan Internet?

Pertama, pastikan komputer anda mempunyai pertahanan yang secukupnya terlebih dahulu. Ini termasuk memasang perisian antivirus dan spyware. Elok juga jika anda mempunyai firewall untuk mengelakkan komputer anda daripada mudah dicerobohi.

Kedua, jangan buka e-mel daripada orang yang anda tidak ketahui, yang tiada tajuk atau yang anda ragui. Terus buang e-mel berkenaan. Jika anda membuka juga e-mel berkenaan, pastikan anda tidak klik terus pautan yang disediakan di dalam e-mel tersebut. Biasanya, transaksi dalam talian seperti perbankan Internet tidak akan menghantar e-mel yang mempunyai pautan di dalamnya.

Ketiga, sentiasa berhati-hati bila bersembang di dalam chat atau messenger dengan orang yang tidak diketahui. Ingatan ini lebih ditujukan kepada mereka yang tersangat peramah di dalam Internet dan juga kepada remaja-remaja. Jangan mudah membuat sebarang temu janji. Anda sebenarnya tidak mengetahui watak di sebalik sesuatu nama samaran itu.

Antivirus

Keempat, jangan buka sebarang attachment yang dihantar tanpa diimbas oleh perisian antivirus anda. Attachment ini ada yang dihantar melalui e-mel dan ada juga dihantar melalui messenger menggunakan identiti orang yang anda kenal. Identiti orang-orang yang dikenali diperoleh dengan mencuri masuk ke dalam Microsoft Outlook atau Outlook Express di komputer anda.
Kelima, jangan mudah tergoda dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat. Jika anda ingin mencari juga wang sampingan di dalam Internet, dapatkan nasihat daripada mereka yang telah lama terlibat di dalam bidang ini. Lebih baik jika anda menyertai papan-papan buletin atau forum-forum yang berkenaan terlebih dahulu.

Keenam, jangan mudah mengeluarkan wang deposit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya, soal selidik yang disediakan melalui beberapa laman-laman web yang menjanjikan bayaran bagi setiap soal selidik jika anda dipilih menjadi pesertanya. Atau, dengan hanya membuat kerja-kerja di rumah anda akan dibayar dengan lumayan.

Ketujuh, gunakan akal fikiran anda ketika melayari Internet. Ini juga ditujukan kepada orang-orang Islam yang mencari maklumat mengenai Islam di dalam Internet. Jangan mudah terpengaruh oleh laman-laman web yang diragui di dalam bahasa Indonesia dan Inggeris. Juga laman-laman web yang mengandungi temu bual dengan orang-orang Melayu yang telah murtad.
Kelapan, layari Internet dengan cermat. Pastikan matlamat atau tujuan anda melayari Internet. Jangan mudah tersasul dengan melayari tempat-tempat yang boleh menggoda diri anda atau membangkitkan hawa nafsu anda. Walaupun anda seronok tetapi anda menanggung risiko yang akan menyebabkan anda menyesal kelak.
Akhir sekali, di dalam Internet telah tersedia berbagai-bagai sumber ilmu. Apa sahaja yang anda ingin pelajari, semuanya boleh didapati secara percuma di dalam Internet. Manfaatkan ilmu dan masa anda melayari Internet!

0 comments: