BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 28, 2010

AWAS KEGANASAN SIBER!!!!

USAHA menghentikan keganasan terhadap wanita (violence against women, VAW) bukan lagi sekadar perjuangan sebelah pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita atau agensi-agensi kerajaan berkaitan.Ini kerana kebangkitan dan kesedaran di kalangan masyarakat sudah mula menunjukkan kesannya dengan penggubalan dasar dan undang-undang bagi melindungi hak kaum Hawa di negara ini.Pun begitu kemunculan era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang pada mulanya dianggap 'penyelamat' kepada wanita yang terpinggir hari ini menjadi 'musuh dalam selimut' apabila bekas-bekas suami atau teman lelaki mudah mengesan mangsa melalui kemudahan tersebut.

Keganasan Siber

Dipanggil keganasan Internet atau siber, ia merupakan satu lagi bentuk keganasan terhadap wanita yang perlu ditangani segera memandangkan lebih ramai menggunakan teknologi untuk berhubung dan mempermudahkan urusan harian.Baru-baru ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan The Body Shop mengadakan kolaborasi untuk menghentikan keganasan terhadap wanita termasuk melalui Internet.Beberapa contoh keganasan adalah penderaan wanita mengandung, perkahwinan kanak-kanak, kahwin paksa, keganasan domestik, suami rogol isteri, sumbang mahram, pelacuran kanak-kanak, pornografi, gangguan seksual (sama ada dalam atau luar talian) dan pemburu siber (cyber stalking).

Risalah merah jambu We Can End Violence Against Women (Kita boleh hentikan keganasan terhadap wanita) itu dicetak sempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan Terhadap Wanita dengan signifikan Malaysia menyertai kempen 16 hari Aktivisme ( 16 Days of Activism) melibatkan 130 negara di seluruh dunia.

"Tahun ini, kempen VAW memberi tumpuan terhadap aspek ICT yang semakin meluas di setiap lapisan masyarakat sehingga hampir mustahil untuk mengawalnya.

"Malang sekali, kanak-kanak perempuan, remaja dan wanita merupakan majoriti mangsa pesalah laku ICT atau Internet yang menggunakan kemudahan itu untuk menindas mereka," kata Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah.

Majoriti mangsa

Menurutnya, sebanyak 83 peratus mangsa jenayah siber terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang kurang mahir menggunakan Internet.Ini kerana pemangsa mencari pengguna Internet yang tidak faham bahasa laman sembang dan sering menunjukkan kelemahan emosi menerusi saluran terbuka yang mudah dikesan pemangsa.

"Pesalah laku akan menghantar pesanan peribadi untuk 'menenangkan hati' anda. Ini sebenarnya cara-cara mereka menyerang mangsa pada saat mereka paling lemah," tegas Ivy.

Selain laman sembang yang tentunya menghimpunkan pelbagai jenis manusia yang mustahil diketahui keaslian latar belakang dan identiti mereka, terdapat banyak lagi contoh penyalahgunaan ICT mensasarkan golongan wanita sebagai mangsa.

Berlaku banyak kes dipaparkan di akhbar dan televisyen mengenai wanita-wanita yang terperangkap oleh suami atau teman lelaki akibat diri mereka dirakam dalam pelbagai keadaan memalukan. Antaranya;

l.Telefon bimbit dan kamera digital digunakan untuk merakam aksi seks atau berbogel, kadang kala dengan izin atau sebaliknya. Semua imej ini mudah dijadikan alat untuk mengugut, memalukan dan mengawal wanita tersebut.

2.Gangguan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pula merupakan sesuatu yang lazim dialami dengan pesanan-pesanan atau panggilan lucah daripada lelaki dikenali atau tidak.

3.Friend Finder disediakan untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi seseorang individu. Ini boleh disalahguna menjadi alat kawalan jika anda sedang dikesan atau diperhatikan gerak-geri oleh suami atau teman lelaki yang suka mendera.

4.Penyeludupan Internet juga berlaku apabila si penyeludup 'merekrut' mangsa melalui Internet dengan iklan-iklan peluang pekerjaan. Wanita hanya sedar menjadi mangsa penipuan apabila dipaksa melakukan kerja lain atau dijual ke negara asing.

Elak jadi mangsa

Untuk mengelak daripada menjadi mangsa gangguan siber, pastikan anda faham apa itu gangguan dalam talian iaitu apabila seseorang sengaja menghantar e-mel berkali-kali, mesej pantas (IM), laman sembang walaupun selepas anda menyuruhnya berhenti.Pemburu siber pula hampir sama dengan gangguan dalam talian tetapi ia dikategorikan menerusi usaha si pemburu mendapatkan mangsanya dan turut menggunakan serangan di luar talian.
Ini perlu diberi perhatian lebih serius kerana boleh membawa kepada serangan fizikal berbahaya lebih-lebih lagi jika si pemburu mengetahui maklumat lokasi mangsanya itu.

Secara amnya, adalah kurang bijak untuk terus berdepan dengan orang yang mengganggu anda. Bagaimanapun, sebaik yakin anda sedang diganggu anda mesti jelaskan padanya agar berhenti. Anda tidak perlu menjelaskan kenapa, hanya katakan anda tidak mahu lelaki itu menghubungi anda langsung.Apa kata anda membuat salinan e-mel gangguan tersebut dan simpan sebagai rekod atau hantar ke abuse@yahoo.com atau abuse@hotmail.com agar e-mel penghantar itu akan ditutup atau disenarai hitamkan.

Untuk pengguna Facebook pula, dicadangkan agar anda menghalang akses individu tidak dikehendaki menggunakan butang pada laman profil peribadi atau rangkaian aduan pada peti mel anda.Akhir sekali, simpan segala-galanya. Salah satu reaksi mangsa gangguan siber adalah untuk memadamkan segala bukti komunikasi mangsa dengan suspek. Ini adalah tindakan salah.Sebaliknya, simpan semua maklumat yang ada termasuk e-mel dan log sembang. Jika suspek mencipta laman web negatif mengenai anda, simpan salinan pada sistem tempatan anda dengan baik agar dapat digunakan dalam perbicaraan mahkamah, jika perlu kelak.

"Malangnya ada wanita membiarkan diri mereka menjadi mangsa dengan membuka ruang kepada lelaki rambang untuk menghubungi mereka secara terbuka.

"Jadilah bijak, gunakan ICT dengan selamat agar wanita tidak terus-menerus menjadi mangsa keganasan," tambah Ivy lagi.

-sumber: dari Utusan Malaysia Online,30/12/2009

0 comments: