BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 31, 2010

Kes Jenayah Siber Menurun 48 Peratus

CYBERJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Kes jenayah siber sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini menurun 48 peratus daripada jumlah kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Datuk Mohd Ali Mohd Yusof.

Beliau berkata kadar jenayah komputer sepanjang tempoh itu menurun mendadak iaitu 283 kes dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta berbanding 606 kes dengan kerugian sebanyak RM2 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jenayah komunikasi dan multimedia pula hanya mencatatkan 58 kes dengan RM294,136 kerugian tahun ini berbanding 149 kes dengan kerugian sebanyak RM629,873 tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel Penyiasatan Jenayah Siber dan Forensik Digital, di sini hari Selasa.

Beliau berkata penghantaran pegawai-pegawai polis mengikuti kursus dan bengkel berkaitan jenayah siber telah membantu meningkatkan kemampuan mereka menangani jenayah terbabit.

"PDRM juga masih dalam proses merekrut pegawai-pegawai yang pakar dalam bidang teknologi komputer untuk menangani kes-kes jenayah ini kerana kita tahu jenayah ini tiada kesudahan," katanya.

Mohd Ali berkata bagi kes jenayah komputer, kebanyakan kes melibatkan pengeluaran wang mangsa tanpa kebenaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) manakala kebanyakan kes jenayah Komunikasi dan Multimedia pula membabitkan perbuatan merosakkan rangkaian pondok telefon.

Bengkel tiga hari yang bermula hari itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Microsoft.

Ia bertujuan meningkatkan lagi keupayaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan jenayah siber.

-- BERNAMA


for more infornation ~ http://www.bernama.com/kpdnhep/news.php?id=165174&lang=my

0 comments: