BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 7, 2010

Keratan Akhbar

Keganasan Siber Perlukan Definisi Serta Undang-undang Yang Sesuai

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Komuniti antarabangsa perlu menampilkan satu kata sepakat berhubung definisi tepat keganasan siber, di samping mengemukakan undang-undang berkaitan yang sesuai untuknya, kata seorang pakar berhubung perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Lt Col (R) Husin Jasri berkata ketika ini sebarang bentuk serangan terhadap individu, pertubuhan atau perkhidmatan di alam siber masih dikategori sebagai 'jenayah siber', walaupun jenayah itu boleh membawa ancaman peringkat nasional atau membabitkan kerugian ekonomi.

Beliau kemudiannya memberi contoh penghantaran arahan oleh seseorang kepada sebuah pertubuhan supaya memusnahkan sebuah bangunan atau premis menerusi internet, yang menurutnya menjadi sukar untuk menentukan sejauh mana tindakan jenayah siber individu itu boleh dianggap mencapai tahap keganasan siber.

"Jenayah-jenayah ini boleh dihadap ke muka pengadilan menerusi akta-akta berkaitan dengan komunikasi online yang terdapat dalam negara, tapi tidak ada satu pun daripadanya merujuk kepada keganasan siber, kerana tiada siapa yang boleh menentukan definisi sebenar jenayah keganasan siber ini," katanya kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "ICT, Youth and Terrorism" di Persidangan Antarabangsa Belia Berhubung Keganasan di sini, Khamis.

Beliau berkata contoh paling hampir mengenai keganasan siber ini mungkin boleh dilihat daripada insiden serangan siber terhadap kerajaan dan laman web Estonia yang melumpuhkan komunikasi internet di negara berkenaan dua tahun lepas.

Dalam insiden pada bulan Mei 2007 itu yang juga dikenali sebagai 'Estonian Cyberwar' serangan online dari 128 sumber di luar negara itu mensasarkan laman web pelbagai kementerian, parlimen, perbankan, media dan polis di negara tersebut.

Kejadian itu juga mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar apabila ia turut menganggu transaksi secara online di negara itu.

Menurutnya walaupun dengan kejadian itu, komuniti antarabangsa masih ragu-ragu sekiranya apa yang berlaku boleh dianggap sebagai keganasan siber.

"Keganasan Siber adalah satu konsep yang masih sukar untuk dijelaskan, dan pendapat-pendapat yang dikemukakan mengenainya adalah berbeza antara satu negara dengan negara lain. Sesetengah negara masih mempersoalkan sekiranya konsep itu benar-benar wujud. Bagi mereka sekiranya ia berlaku di alam siber, ia kekal sekadar jenayah siber," katanya

0 comments: